i June 2016 ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Melangkah Bersama Islam

Kelab Al-Azhar Members KUIS (ALAM KUIS) merupakan sebuah persatuan mahasiswa bernaung di bawah Masjid Al-Azhar KUIS.

Pemangkin Generasi Intelektual

NISA Al-Azhar Members KUIS merupakan sayap siswi bagi Kelab Al-Azhar Members KUIS.

Ahlan Ya Ramadhan !

Jadikan Ramadhan tahun ini platform anda tqarrub pada Allah!

Sunday 26 June 2016

RISALAH (2) : AMALAN-AMALAN DI BULAN RAMADHAN






Risalah (2)
AMALAN-AMALAN DI BULAN RAMADHAN

الحمد لله رب العلمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء
والمرسلين، نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، وبعد:

(شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَان)

Maksudnya: “Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang batil). [Al-Baqarah: 185]
Risalah ini sebagai satu tazkirah tentang beberapa kelebihan bulan Ramadan serta apakah amalan yang sepatutnya diisi sepanjang bulan mulia ini.
Semoga ia menjadi panduan dan pembangkit semangat untuk beramal dengan sebaik-baiknya. Allah telah menjadikan bulan Ramadan sebagai satu bulan yang mulia berbanding bulan-bulan yang lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan, antaranya ialah:
·      Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi di sisi Allah.
·      Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.
·      Syurga dihias setiap hari pada bulan Ramadan.
·      Syaitan-syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadan.
·      Pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup.
·      Terdapat pada bulan ini Laialatul Qadar yang mana ia lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mengambil peluang untuk membuat kebaikan dan beramal padanya maka dia telah melepaskan semua peluang kebaikan.
·      Orang-orang yang berpuasa akan mendapat keampunan pada malam terakhir daripada bulan Ramadan.
·      Pada setiap malam Ramadan tersenarai di sisi Allah nama-nama hamba-Nya yang bebas daripada api neraka.

Di antara amalan yang wajib dan amalan sunat yang sangat digalakkan melakukannya pada bulan Ramadan ialah;

1)      Berpuasa:
Sabda Rasulullah
(كل عمل ابن آدم يُضَاعَفُ، الحسنة عشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف، قال الله
 عزاوجل: إلا الصوم، فإنه لي وأنا أجزي به، يدع شهوته وطعامه من أجلي. للصائم
 فرحتان: فرحة عند فطره، وفرحة عند لقاء ربه. ولخلوف فيه أطيب عند الله
 من ريح المسك) [ مسلم:
Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya, satu kebaikan seumpama sepuluh, hingga 700 kali ganda. Allah berfirman (dalam hadis qudsi): Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untuk Aku dan Akulah yang akan memberi ganjarannya. Dia meninggalkan syahwatnya, makanannya kerana Aku. Bagi orang-orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika hendak bertemu Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa itu lenih harum daripada bau kasturi di sisi Allah.” [HR: Muslim dan Abu Hurairah 1151]
              
      Sabda Rasulullah :
(من صام رمضان إيمانا واحتسابا، غفرله ما تقدم من ذنبه) [منتق عليه]
                Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim]

                Berpuasa memberi banyak faedah kepada kehidupan jasmani dan rohani. Dalam konteks rohani, ia amat berfaedah untuk menjinakkan nafsu liar, melatih untuk bersabar, memahami erti kefakiran, kesusahan dan sebagainya.

2)      Ramadan dan membaca al-Quran:
Nabi S.A.W menceritakan bahawa Jibril membacakannya al-Quran setiap tahun sekali pada bulan Ramadan dan pada tahun kewafatan Baginda sebanyak 2 kali. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].
Para ulama’ bersungguh-sungguh memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan. Sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh 3 malam, sebahagian setiap satu minggu dan sebahagian mereka dalam tempoh 10 hari sekali. Mereka membacanya ketika di dalam solat dan juga di luar solat.
Imam asy-Syafie akan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan dan beliau membacanya di luar solat.
Ibnu Rajab berkata: “Larangan mengkhatamkan al-Quran kurang dari tiga hari ialah bagi mereka yang menjadikannya sebagai satu amalan biasa yang berterusan. Adapun pada waktu-waktu yang terdapat keutamaan seperti pada bulan Ramadan, khususnya pada malam-malam yang dijangkakan Lailatul Qadar ataupun ketika berada di tempat-tempat yang mempunyai kelebihan seperti di Makkah bagi orang-orang luar yang memasukinya maka disunatkan memperbanyakkan membaca al-Quran sebagai mengambil peluang masa dan tempat”.

3)      Qiamullail
Bagi seseorang mu’min apabila berada pada bulan Ramadan akan berhadapan dengan dua jihad di dalam dirinya. Pertama jihad di siang hari berpuasa dan kedua jihad pada malam hari dengan Qiamullail. Sesiapa yang berjaya melakukan dua jihad ini dengan melaksanakan hak-haknya dengan sabar dan sempurna maka ganjarannya amat besar tidak terhingga.

 Sabda Rasulullah:
(من قام رمضان إيمانا واحتسابا، غفرله ما تقدم من ذنبه) [منتق عليه]
                Maksudnya: “Sesiapa yang bangun (solat)  pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim]. 

              Firman Allah:
وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا﴿﴾
 وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا﴿﴾
                Maksudnya: “Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang, mereka itu ialah yang berjalan di atas muka bumi dengan penuh rendah diri dan sekiranya orang-orang jahil menyapa mereka, mereka akan mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang-orang yang menghabiskan malam dengan bersujud dan berdiri semata-mata untuk Tuhan mereka...”.  [Al-Furqan: 63-64]
              
          Qiamullail adalah kebiasaan Nabi dan para sahabat yang tidak pernah ditinggalkan oleh mereka. ‘Aisyah pernah berkata:
“Jangan kamu tinggalkan Qiamullail. Rasulullah tidak pernah meninggalkannya, dan apabila Baginda sakit atau kepenatan, Baginda solat sambil duduk.” [HR: Abu Daud].
                Khalifah Umar bin al-Khattab akan bersolat malam seberapa banyak, apabila sampai pertengahan malam beliau akan mengejutkan ahli keluarganya untuk bersolat, sambil berkata:
“Solah, solah!” (bangun untuk bersolat).
                Sebagai peringatan, setiap jemaah hendaklah menyempurnakan solat terawih bersama imam supaya namanya tertulis di kalangan orang-orang yang Qiyam (orang yang berdiri solat).
                Abi Zar meriwayatkan Nabi bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam, dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada Baginda: “Kalaulah tuan terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat”. Maka Nabi bersabda:
(إنه من قام مع الإمام حتى ينصرف، كتب له قيام ليلة) [الترمذي،صحيح]
                Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri bersama imam sehingga dia (imam) beredar, dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman.” [HR: At-Tirmizi,sahih].

4)      Bersedekah
عن ابن عباس قال: (كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس، وكان أجود ما يكون
في رمضان حين يلقاه جبريل، وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه
القرآن. فالرسول الله صلى الله عليه وسلم أجود بالخير من الريح المرسلة) [البخاري]
Ibnu Abbas berkata: “Rasulullah adalah manusia yang sangat pemurah dan Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan... dan Baginda lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang kencang.” [HR: Al-Bukhari]

Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing.

Sabda Nabi: 
                                           (اتقوا النار ولو بشق تمرة) [البخاري]
                Maksudnya: “Takutilah api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah tamar’. [HR: Al-Bukhari]
                Imam asy-Syafie berkata: “Aku suka jika seseorang bertambah pemurah pada bulan Ramadan kerana ia mengikuti jejak langkah Rasulullah, kerana ketika itu manusia berhajat kepada bantuan untuk keperluan mereka. Ini kerana manusia sibuk dengan puasa dan solat (ibadat) berbanding pekerjaan masing-masing”.
                Rasulullah telah ditanya, apakah sedekah yang paling afdhal? Sabdanya:
(صدقة في رمضان) [الترمذي، ضعفه الألباني]
                Maksudnya: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah dalam bulan Ramadan”. [HR: At-Tirmizi daif], ia mempunyai banyak cara dan cabangnya:

a.       Memberi makan:
Para ulama’ salaf sangat menitikberatkan amalan memberi makan dan mendahulukannya daripada ibadat-ibadat lain.
Ia sama ada dengan memberi makan orang yang kelaparan ataupun kawan-kawan yang soleh dan tidak disyaratkan hanya kepada orang fakir.
Rasulullah bersabda:
(إن في الجنة غرفا ترى ظهورها من بطونها، وبطونها من ظهورها). فقام
أعرابي فقال: لمن هي يا رسول الله؟ قال: (لمن أطاب الكلام، وأطعم الطعام، وأدام
الصيام، وصلى الله بالليل والناس نيام) [الترمذي حسنه الألباني]
Maksudnya: “Di dalam syurga terdapat bilik-bilik, nampak dari dalam barang-barang di luarnya dan sebaliknya”. Bangun seorang a’rabi (orang kampung) bertanya; Untuk siapakah bilik-bilik itu wahai Rasulullah? Sabda Nabi  “Bagi mereka yang baik percakapannya, memberi makan, sentiasa berpuasa dan bersolat kerana Allah pada waktu malam tatkala orang lain sedang tidur”. [HR: At-Tirmizi, hasan].
Al-Hasan al-Basri dan Ibnu al Mubarak memberi makan para sahabatnya, sedangkan mereka sendiri berpuasa. Mereka duduk melayani dan berkhidmat kepada orang yang makan serta memenuhi keperluan mereka.
Hammad bin Sulaiman akan menghidangkan juadah berbuka puasa untuk 500 orang ketika Ramadan dan dia akan memberikan kepada setiap mereka 100 dirham di Hari Raya.
Ibadat memberi makan akan menjadi asas kepada banyak ibadat-ibadat lain, seperi rahmat dan kasih sayang terhadap sahabat yang diberi makan, dan ini akan menjadi salah satu sebab untuk masuk syurga, kerana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak masuk syurga seseorang itu sehingga ia beriman, dan tidak beriman sehingga ia saling mengasihi”. [HR: Al-Bukhari].

b.      Memberi makan (berbuka) oarang yang berpuasa:
Sabda Rasulullah
(من فطر صائما، كان له مثل أجره، غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا) [الترمذي، صحيح]
                Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya dan ia tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikit pun”. [HR: At-Tirmizi, sahih]
                Sabda Rasulullah
(أيها الناس أفشوا السلام، وأطعموا الطعام، وصلوا والناس نيام،
تدخلوا الجنة بسلام) [أحمد والترمذي، صحيح]
                Maksudnya: “Wahai Manusia! Sebarlah salam, berilah orang makan dan solatlah malam ketika manusia tidur, pasti kamu akan masuk ke Syurga dengan sejahtera”. [HR: Ahmad, at-Tirmizi, sahih].
                Semua ini menunjukkan bahawa mengumpulkan antara puasa dah sedekah adalah lebih berkesan untuk menghapuskan dosa.
                Nabi bersabda:
(الصوم جنة، والصدقة تطفئ الخطيئة، كما يطفئ الماء النار، وصلاة
الرجل من جوف الليل) [الترمذي وابن ماجه، صحيح]
                Maksudnya: “Puasa adalah perisai. Sedekah akan memadamkan kesalahan seperi air memadamkan api dan begitu juga seorang lelaki yang bangun di pertengahan malam”. [HR: Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah, sahih].

5)      Menjaga lidah, mengurangkan kata-kata dan menjauhi sifat dusta.
Sabda Rasulullah
(من لم يدع قول الزوز والعمل به، فليس لله حاجة
في أن يدع طعامه وشرابه) [البخاري]
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat agar dia meninggalkan makanan dan minumannya (yakni berpuasa)”. [HR: Al-Bukhari]
Hadis tersebut menunjukkan bahawa berpuasa juga bermaksud menahan diri daripada pembohongan dan kata-kata yang sia-sia dan tidak berfaedah sebagaimana seseorang itu menahan diri daripada makan dan minum. Sekiranya dia tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka berkuranglah pahalanya dan dia terdedah kepada kemurkaan Tuahnnya.
Sabda Rasulullah
(إذا أصبح أحدكم يوما صائما، فلا يرفث، ولا يجهل، فإن امرؤ شاتمه، أو قاتله
فليقل: إني صائم! إني صائم!)[مسلم]
Maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu mula berpuasa maka janganlah dia melakukan Rafath (melakukan perkara-perkara yang membangkitkan nafsu) dan janganlah dia bergaduh, sekiranya seseorang mencaci atau memusuhinya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa”. [HR: Muslim]
Ali bin Abi Talib berkata: “Sesungguhnya puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makanan dan minuman, tetapi juga dari penipuan, kebatilan dan perkara yang sia-sia”.
Berkata Mujahid: “Dua perkara yang sesiapa meninggalkannya maka sempurnalah puasanya: Ghibah (mengumpat) dan menipu”. Abu al-‘Aliah pula berkata: “Orang yang berpuasa tetap ibadatnya selagi dia tidak melakukan Ghibah”.
Rahsia di sebalik larangan-larangan ini khususnya ketika sedang berpuasa ialah kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kerana Allah dengan meninggalkan perkara-perkara yang harus, tidak akan sempurna kecuali setelah meninggalkan perkara-perkara yang haram. Ia adalah seumpama orang yang meninggalkan perkara-perkara fardu untuk melakukan perkara-perkara sunat, apakah faedahnya?

6)      Doa, Zikir dan Istighfar
Semua hari-hari Ramadan adalah waktu yang mulia, maka ambillah kesempatan ini dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab seperti:
·      Ketika hampir waktu berbuka. Nabi menyebutkan tiga doa yang tidak ditolak antaranya ialah orang yang berpuasa sehingga dia berbuka. [HR: At-Tirmizi, sahih]
·      Di sepertiga malam ketika Allah menyeru:
“Adakah ada orang yang berdoa, maka aku perkenankan, adakah orang yang memohon keampunan, maka Aku mengampunkannya”. [HR: Al-Bukhari& Muslim].
·      Memohon keampunan Allah S.W.T. ketika waktu sahur. Firman Allah:
وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ﴿﴾
Maksudnya: “Dan ketika waktu sahur mereka memohon keampunan”. [Az-Zariyat: 18]
Jangan kita lupa juga terdapat ganjaran-ganjaran yang besar bagi orang yang berzikir. Terdapat banyak nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi yang sahih menjelaskan.

7)      Umrah pada bulan Ramadan
Sabda Rasulullah
(فإن عمرة في رمضان تقضي حجة، أو حجة معي) [البخاري ومسلم]
Maksudnya: “Satu umrah pada bulan Ramadan ganjarannya menyamai satu haji. Dalam riwayat yang lain; “Menyamai satu haji bersamaku”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

8)      Beriktikaf
Antara kelebihan khusus sepuluh terakhir Ramadan ini, ialah digalakkan beriktikaf padanya.

9)      Lailatul Qadar
Di dalam Ramadan yang berkat ini Allah menghadiahkan kepada hamba-hambanya satu malam yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadr.
[Dua kelebihan ini (8 & 9) akan dijelaskan dalam risalah yang kedua insyallah]
Penutup:
Sabda Rasulullah sewaktu menaiki mimbar di Madinah:
(رغم أنف عبد دخل عليه رمضان فلم يغفرله) [صحيح ابن خزيمة، السنن الكبرى للبيهقي]
Maksudnya: “Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya”. [HR: Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi]

Oleh itu, tidak sepatutnya bagi seorang muslim yang berakal melepaskan peluang yang amat bernilai ini untuk dirinya dan keluarganya. Ia hanya datang sekali dalam setahun. Marilah kita bertekad dan berazam untuk memperuntukkan waktu dan masa kita dengan amal ibadat bagi merebut peluang ganjaran pahala yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya.
Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada yang lepas, dituliskan nama kita di antara hamba-hamba-Nya yang mendapat keampunan Tuhan dan selamat dari azab Neraka. Aamin.








Monday 6 June 2016

RISALAH (1) : HUKUM SEMASA BERKAITAN PUASA








Risalah (1)

HUKUM SEMASA BERKAITAN PUASA



الحمد لله رب العلمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء
والمرسلين، نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، وبعد:
            Allah swt telah memfardukan puasa Ramadan ke atas umatnya, Allah juga telah mensyariatkan puasa-puasa sunat lain selain daripada fardu ini, serta menjanjikan ganjaran yang besar, yang menjadi idaman bagi setiap orang yang beriman. Sabda Rasulullah saw:
(من صام يوما في سبيل الله، بعَّد الله
وجهه عن النار سبعين خريفا)
                “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah akan jauhkan mukanya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.” [Muttafaq alaih].
                Allah telah meletakkan garis panduan dalam melakukan puasa dan sekali-kali tidak membenarkannya untuk dilanggar. Maka menjadi kewajipan bagi setiap muslim mengetahui dan mempelajarinya untuk menjaga ibadat yang besar ini. Catatan ini bertujuan untuk membincangkan perkara-perkara yang membatalkan puasa menurut kajian ulama’ semasa.
                Menunaikan ibadat puasa dengan sempurna merupakan perkara asas yang perlu diketahui oleh setiap muslim menjaga puasa dari perkara yang membatalkannya juga tidak kurang pentingnya, oleh itu perbincangan tentang perkara ini adalah perlu untuk menjaga puasa dari terbatal, dan membatalkan puasa dengan perkara yang sebenarnya tidak membatalkannya akan menyempitkan ruang yang telah diperluaskan oleh Allah swt. Ayat 15 dari Surah Al-Baqarah adalah salah satu ayat yang telah disebut oleh Allah tentang keringanan syariat-Nya:
(يريد الله بكم اليسر، ولا يريد بكم العسر)
                “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”

RUKUN PUASA
Rukun puasa ada dua, iaitu:
1)      Berniat pada malam harinya.
Sabda Nabi saw:
(مَن لم يُجمِع الصَّيَام قَبلَ الفَجرٍ فلا صيام له)
رواه أبو داود، "صحيح"
وعند النسائي: (مَن لم يبيت الصيام من الليل فلا صيام من الليل فلا صيام له)
صحيح سنن النسائى
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berazam (berniat) pada waktu malam maka tidak ada puasa (fardu) baginya.
2)      Imsak, menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari
Antara perkara yang diberikan fokus mendalam di waktu ramadan adalah:-
1)      Mencapai Taqwa:
Firman Allah yang mengarahkan berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah cara, dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target perlu diberikan perhatian lebih.
2)      Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran
Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadan ini sebagai petunjuk, bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.
3)      Amaran Terhadap Penghilang Pahala Ramadan Yang Pasti:
Sabda-sabda Nabi saw berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.
4)      Kaedah Penambah Pahala & Reda Allah di Bulan Ramadan
Yang pasti: Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekali gus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.
Seseorang yang berpuasa hendaklah menjaga diri dari melakukan perkara yang merosakkan puasa, demi menjaga kehormatan ibadat yang mulia ini. Antaranya ialah:
1-      Menahan nafsu syahwat
2-      Menanggung lapar dan dahaga
3-      Menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari.
Semuanya dilakukan dengan niat ikhlas ibadat keran Allah.
Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunah.
Demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah, Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah: 187 dan disokong oleh hadis-hadis yang banyak.

PERKARA ASAS YANG MEMBATALKAN PUASA IALAH:
                Sebagaimana yang disepakati (Ittifaq) ulama’ berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis dan ijma’ ialah empat perkara;
1)      Makan,
2)      Minum,
3)      Jima’,
Dalilnya ialah firman Allah swt yang bermaksud:         ‘...Maka sekarang campurilah mereka (isteri kamu) dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dan benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam...” [Al-Baqarah:187].
4)      Haid dan Nifas.
Dalilnya hadis Abu Said al-Khudri yang bermaksud: Sabda Rasulullah saw: “Bukankah perempuan itu apabila mereka haid, tidak bersolat dan tidak berpuasa...”. [Bukhari- 304, Muslim:79].

Antara perkara yang membatalkan puasa lagi (menurut mazhab asy-syafie) ialah:
5)      Sampai sesuatu (ain) ke dalam rongga (al-jauf) melalui liang yang terbuka.
Maksud ‘am ialah sesuatu yang dapat dilihat oleh mata.
Maksud al-Jauf ialah otak ataupun apa yang berada di antara bawah halkum hingga ke perut.
Maksud liang terbuka ialah; mulut, telinga, qubul, dubur, sama ada lelaki atau perempuan.
Oleh itu setitik air yang masuk melalui telinga membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang terbuka. Tetapi setitik air yang masuk ke dalam mata TIDAK membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang tidak terbuka. 
Suntikan di lubang dubur membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang terbuka. Suntikan pada urat TIDAK membatalkan puasa kerana urat adalah liang yang tidak terbuka. Begitulah seterusnya.
Semuanya ini disyaratkan dilakukan dengan sengaja, qiyas kepada makan dan minum.
Sekiranya lalat atau nyamuk, atau debu jalan masuk ke dalam al-Jauf, maka puasa TIDAK batal. Ini kerana untuk menghindarinya adalah tersangat susah (musyaqqah). Begitu juga dengan menelan air liur. Tetapi jika menelan air liur bernajis seperti gusi yang luka, walaupun air liur itu jernih dan dia tidak membersihkan mulutnya, maka puasanya batal.
Sekiranya dia berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung dan air itu termasuk ke dalam jauf-nya maka ia tidak batal, kecuali ia melampau.
Sekiranya terdapat sisa makanan di celah-celah giginya lalu ia digerakkan oleh air liurnya tanpa sengaja lalu masuk ke dalam perutnya, maka puasanya TIDAK batal.
6)      Muntah dengan sengaja.
Muntah yang disengajakan membatalkan puasa seseorang, sekalipun dia pasti tiada apa-apa daripada muntahan tersebut masuk semula ke dalam perutnya. Akan tetapi, puasa tidak batal sekiranya tiada upaya menahan muntahnya.
7)      Mengeluarkan mani.
Air mani keluar sama ada dengan perbuatan berkucup dan seumpamanya atau dengan tangan (onani). Apabila seseorang berbuat demikian dengan sengaja puasanya batal. Jika tidak disengajakan dan tidak dapat menahan maninya keluar puasanya tidak batal.
8)      Gila dan Murtad (wal’iyazubillah)
Kedua-dua perkara tersebut juga menghalang daripada puasa. Ini kerana orang yang berpuasa dalam keadaan itu telah terkeluar daripada kelayakan beribadat. [Lihat- Al-Fiqh al-Manhaji].
Untuk mengetahui fatwa semasa mengenai perkara ini. Di bawah ini dikemukakan Keputusan Persidangan Fiqh Antarabangsa (al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami) [No. 93(1/10) pada 23-28 Safar tahun 1418H bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1997] Mengenai Perkara-perkara Yang Tidak Membatalkan Puasa.
A-     Keputusannya (Qarar) Seperti Berikut:
1-      Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga. Ubat titis hidung atau semburan hidung, dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
2-      Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung) dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
3-      Memasukkan ubat melalui faraj, memasukkan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin).
4-      Memasukkan teropong ke dalam salur peranakan/rahim atau alat ke dalamnya. (Contoh: alat pencegah kehamilan – IUCD)
5-      Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray atau lainnya.
6-      Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.
7-      Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk ke dalam perut dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
8-      Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah (seperti: glukos yang mengenyangkan).
9-      Oksigen dan Gas Bius.
10-   Bius menggunakan gas, bukan menggunakan cecair yang mengenyangkan.
11-   Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat.
12-   Sesalur dan bahan perantara untuk artehografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain.
13-   Teropong dalam rongga perut (endiskopi) untuk mencari punya penyakit.
14-   Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain untuk ujian makmal.
15-   Teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa cecair atau bahan seumpamanya.
16-   Memasukkan ubat atau alat ke dalam otak.
17-   Muntah secara tidak sengaja.
B-      Jika tidak memberi mudarat, para doktor muslim hendaklah menasihati pesakit untuk menangguhkan dulu rawatan yang meragui sehingga selesai puasa.
Tambahan dari Keputusan “Seminar Fiqh Perubatan ke 9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418/14-17 Jun 1997. Pendapat majoriti peserta menambah perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA:
1-      Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur.