i Perutusan Musim Peperiksaan Sesi II/2015 oleh Presiden ALAM ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Monday 28 September 2015

Perutusan Musim Peperiksaan Sesi II/2015 oleh Presiden ALAM



Assalamualaikum w.b.t.

Segala puji bagi Allah SWT pemilik sekalian alam dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat r.a , tabi’ tabiin serta tidak lupa juga kepada mahasiswa dan mahasiswi warga Stanza Mahabbah yang dirahmati Allah sekalian.

Mahasiswa mahasiswi sekalian,
Saya mewakili Kelab Al-Azhar Members KUIS bersama-sama memanjatkan doa dan iltizam yang tinggi kepada Allah S.W.T agar seluruh mahasiswa KUIS dapat menempuh peperiksaan ini dengan penuh ketenangan dan mencapai kejayaan yang cemerlang insyaAllah.

Peperiksaan merupakan satu medan kita semua untuk menguji sejauh mana pemahaman kita berkenaan ilmu yang telah kita
pelajari. Walaupun banyak persepsi dan pandangan kita terhadap peperiksaan yang saban semester kita hadapi, namun ia tetap juga satu wasilah atau medium kita menyalurkan tahap kefahaman kita dalam subjek yang telah diambil.

Walaubagaimanapun ,terdapat mahasiswa yang sering mengambil remeh dan sambil lewa bila diperkatakan soal peperiksaan ini. Ada yang berkata, “Alah, buat apa nak periksa-periksa ni. Al-Ilmu fi Sudur wa Laisa fil Kutub, tak exam pun memang aku dah cerdik”. Ada juga yang sering kedengaran berkata, “Kalau tak lulus exam pun kita boleh berjuang kan? Perjuangan tu luas skopnya. Jangan
jumud”. Tak kurang juga yang berkata, “Ana tak nak dicop 'exam-oriented', bersungguh masa exam je".


Memanglah, kita tidak mahu digelar seorang yang 'exam oriented', dengan hanya menumpukan perhatian kepada peperiksaan semata, tetapi penghayatan kepada ilmu yang dipelajari itu langsung tiada. Namun, tidak bermakna sekiranya kita mahu menolak sesuatu keadaan, kita perlu gagal dalam menghadapi keadaan tersebut. Sebaliknya kita perlu menggunakannya, supaya suatu masa nanti kita akan mampu mengubahnya.


Tuntasnya, ayuhlah mahasiswa KUIS, kita gunakanlah kesempatan yang ada ini untuk bersungguh-sungguh dalam mengulangi pelajaran sebelum tibanya hari peperiksaan. Dalam firman Allah surah Al-Mujadalah ayat 11, mafhumNya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انْشُزُوا فَانْشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan".

Muhammad Fikri Abdul Wahab,
Presiden Kelab Al-Azhar Members KUIS 2015.

'Terus Melangkah, Menabur Ukhuwah'.

0 pandangan: