i Majlis Perwakilan Pelajar KUIS : Sebuah Harapan dan Kebersamaan ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Tuesday 14 January 2014

Majlis Perwakilan Pelajar KUIS : Sebuah Harapan dan Kebersamaan


1. Tanggal 8 Januari 2014, Barisan Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar KUIS sesi 2013/2014 secara rasminya telah dibentuk dalam Majlis Baiah MPP KUIS.

2. Saya mewakili barisan kepimpinan Kelab Al-Azhar Members merafakkan ucapan tahniah dan takziah buat semua ahli MPP KUIS sesi 2013/2014 yang telah mengangkat baiah. Tahniah dan takziah juga diucapkan kepada Saudara Mohamad Lutfi bin Ab Latib yang telah terpilih sebagai Yang Dipertua MPP KUIS bagi sesi ini.

3. Kepimpinan dalam Islam hendaklah menjadi asas utama dalam memacu kabinet mahasiswa kali ini. Bertindak sebagai sebuah 'kerajaan', MPP KUIS perlu bergerak dengan menanam nilai kepimpinan ini dalam diri seterusnya menebar nilai tersebut kepada semua mahasiswa amnya.

Pertama : Nilai "Hafiz" (Pelihara).

MPP KUIS kali ini perlu berperanan untuk memelihara agama dan menegakkan sistem pengurusan dan perundangan yang berlandaskan gerak kerja Islam. Bertepatan dengan firman Allah:

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." [Al-Haj, 22 : 41]

Kedua : Nilai "Alim" (Berilmu)

MPP KUIS kali ini perlu sentiasa mendepani isu-isu baik di peringkat mahasiswa, mahupun isu-isu semasa. Faktor 'Ilmu' menjadi kekuatan kepada MPP untuk menghadapi dan menjawab beberapa persoalan selaras dengan peranan kita sebagai masyarakat kampus.

Ketiga : Nilai "Quwwah" (Kuat)

MPP KUIS kali ini juga perlu memiliki ‘al-Quwwah’ yakni kekuatan dari semua sudut samada fizikal, spiritual, emosi dan mental.

Al-Quran telah menjelaskan bagaimana pemilihan seorang pekerja mahupun seorang pemimpin. Firman Allah s.w.t, yang maksudnya :

“Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”. [Al-Qasas, 28 : 26]

Keempat : Nilai "Amanah" (Telus)

Aspek terpenting yang perlu diterapkan dalam diri, khususnya MPP KUIS sebagai barisan kepimpinan mahasiswa adalah nilai telus dan amanah. Ia seiring dengan arahan Allah s.w.t, bermaksud :

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil...." [Al-Nisa, 4 : 58]

4. Justeru, diharapkan MPP KUIS kali ini dapat menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku dengan baik dek kerana hakikat mahasiswa dan anak muda sekarang yang lebih agresif dan terkehadapan dalam pemikiran, pembudayaan ilmu selain aktif dalam sukan. Selesaikan permasalahan dengan baik, ambillah keberkatan syura dalam menyelesaikan masalah dan terus mara ke hadapan.

5. Bagi menghadapi cabaran tersebut dan bermatlamatkan penerapan biah solehah di kolej yang kita cintai, Kelab Al-Azhar Members KUIS bersedia menghulurkan bantuan, memberi sokongan dan bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar KUIS sesi 2013/2014 dengan tangan terbuka dalam gerak kerja mahupun program yang dianjurkan.

6. Sebagai pengakhiran, kami berdoa agar segala urusan Majlis Perwakilan Pelajar kali ini dipermudahkan Allah s.w.t. Kami menyeru agar semua mahasiswa memberikan sokongan dan kerjasama kepada MPP KUIS dalam perkara kebaikan dan tegurlah mereka mengikut saluran yang betul pada perkara yang silap.

"Inspirasi Mahasiswa Islam"

Muhammad Fikri bin Abdul Wahab @ Pak Tam.
Timbalan Presiden Kelab Al-Azhar Members KUIS.
Sesi 2013/2014.

0 pandangan: