i January 2013 ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Islam Memimpin Mahasiswa

Kelab Al-Azhar Members KUIS (ALAM KUIS) merupakan sebuah persatuan mahasiswa bernaung di bawah Masjid Al-Azhar KUIS.

Pemangkin Generasi Intelektual

NISA Al-Azhar Members KUIS merupakan sayap siswi bagi Kelab Al-Azhar Members KUIS.

Ahlan Ya Ramadhan !

Jadikan Ramadhan tahun ini platform anda tqarrub pada Allah!

Tuesday, 29 January 2013

Tarbiah Dalam Program Rally Tarbawi Al-Azhar Di Kuis: Ucapan Adun Bangi

Kuis, Bandar Seri Putra, 13 Rabiul Awwal 1434 = 25 Januari 2013 (Jumaat):

Program di atas adalah dianjur oleh Biro Taadib dan Kepimpinan Masjid Al-Azhar 2013 (RTA 13), Kuis, Bandar Seri Putera, Bangi. Program bertujuan bagi membina Modal Insan Unggul. Adun diminta berucap bagi kata-kata alu-aluan bagi program satu hari, khususnya sebelum  Forum Tarbiah dari jam 9.10 – 9.30 malam. Menurut program forum terdiri dari panel Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ustaz Nik Zawawi Salleh dan Ustazah Hafizah Musa (Adun tidak mengikuti forum).



Adun mengutarakan pendapat bahawa konsep tarbiah ialah sesuatu yang murni dan unggul. Ianya mempunyai hubungan dengan istilah `Rabb` - Ketuhanan yang mempunyai segala sifat kesempurnaan. Idealnya insan dituntut mendekati dan membina diri dengan sifat-sifat kesempurnaan melalui tarbiah. Keunggulan bagi insan antaranya diistilahkan dengan Insan khalifah, Insan Rabbani dan Insan Kamil. Untuk pembicaraan ini kita kenali mereka dengan `Insan Unggul`.



Mentarbiah insan ialah usaha bagi mengangkatkan martabat insan melalui elemen-elemen yang ada pada diri insan baik dari segi fizikal, akli, kalbu dan rohani. Pengangkatan melalui skima jangka pendek dan jangka panjang dan ada jatuh bangunnya. Tarbiah jangka pendek ialah pendidikan individu dan kelompok masyarakat seperti saudara-saudari yang bakal keluar sebagai seorang `terpelajar` begitu juga semua saudara-saudari setelah keluar dan bergelar sebagai masyarakat terpelajar ! Sejauhmanakah terpelajarnya akan dibincangkan. Dari segi jangka panjangnya, umat Islam sejak dari kelahiran Islam dibawa oleh Rasulullah s.a.w hingga kini mempunyai tradisi tarbiah yang panjang. Baik tarbiah bagi individu yang mempunyai masa tarbiah relatif pendek, maupun tarbiah umat yang mempunyai masa yang panjang adalah menggunakan berbagai-bagai mekanisme pendidikan yang berubah dan bertambah sesuai dengan perubahan dan pertambahan zaman. Mekanisme ini ada berupa tempat seperti masjid, surau, madrasah, pondok, langgar, Sekolah, kolej, universiti dan lain-lain. Ada yang berupa alat seperti kitab, buku, computer,video, film, bahkan alam dan sebagainya dan yang lebih penting ialah penyampai tarbiah yang dikenali dengan guru, muallim, ustaz, pengajar, pensyarah, professor dan sebagainya.



Sejauhmanakah mekanisme tarbiah di atas melahirkan insan unggul ? Sesungguhnya 15 abad Islam berkembang tidak dapat dinafikan hasil dari tarbiah Islam telah melahirkan kejayaan-kejayaan sebagaimana lahirnya pusat-pusat pengajian unggul seperti Masjid al-Madinah, Universiti Qayrawan, Al-Azhar, Qurduba, Diuband, Baitur Rahman Acheh, UIAM, USIM dan KUIS. Bagaimana dengan insan yang dilahirkan sebagai anak zaman ?

Sesungguhnya melalui mekanisme dan jatuh bangunnya Islam melahirkan tamadun dan peradabannya yang boleh disebut tamadun dan peradaban Madinah, Umawiyyah, Abbasiyyah, Uthmaniyah. Dari segi insan unggulnya relatifnya sedikit. Antaranya boleh disebutkan Ibn Abbas, Imam-Imam Mazhab Empat, Ibn Kathir, Bukhari, Muslim, Al-Farabi, Al-Mawardi, Ibn Khaldun dan lain-lain yang masing-masing dengan hasil-hasil karya masing-masing yang menjadi turath bagi tamadun dan peradaban umat. Dalam zaman moden, walaupun kita mempunyai pusat pengajian tinggi, mahaguru dan sama menggunakan alat-alat canggih dalam bidang tarbiah, tetapi berdepan dengan kemajuan keunggulan masyarakat yang bukan Islam, kita adalah relatif ketinggalan, jika pun tidak dapat dikatakan mundur.



Apakah yang dihasilkan oleh mekanisme pendidikan kini ?

Pada dasarnya hasil produk tarbiah adalah mengguna dan mengulang apa yang sedia ada, melahirkan hasil yang stereotype. Amat sukar untuk melahirkan yang benar-benar genius, asli, kreatif dan innovatif yang diterima umat sebagai sesuatu yang segar dan memanfaatkan. Bayangkan pada zaman tradisi dalam berabad-berbad berlalu umat dapat melahirkan seorang dua dalam bidang yang membicarakan soal Negara kota seperti Al-Farabi dengan Al-Madinah al-Fadilah atau Al-Mawardi dengan Al-Ahkam as-Sultaniyyah dan Ibn Khaldun dengan Al-Muqaddimah. Pada zaman kita yang berdepan dengan keunggulan Barat, walaupun ada tapi tidak setara. Adakah tarbiah kita, selain dari melahirkan yang biasa dan stereotype, dapat melahirkan negarawan muslim dalam bidang politik ? seorang ekonomis muslim yang mendapat pengiktirafan dunia ? Dan seorang humanisme terbilang penganjur keamanan sejagat ?



Kita tidaklah merendah mekanisme pendidikan yang kita dukung, tetapi majoriti insan yang dilahirkan 99%  atau lebih adalah stereotype dan biasa. Kita merindui penghasilan segar dan baharu seperti pada masa lahirnya tokoh dan karya seperti Al-Farabi dengan Al-Madinah Al-Fadilah, segar dan baharu seperti tokoh Ibn Khaldun dengan karya Al-Muqaddimah dan berbagai-bagai lagi bidang yang dapat dikiaskan. Kita mengharapkan dengan mekanisme tarbiah yang digunakan – seharusnya terbaik dari segi penghasilan, selain dari biasa dan stereotype, tetapi melahirkan insan-insan unggul dalam berbagai-bagai bidang.



Kita di Bangi mempunyai harapan tinggi mengimpikan lahirnya watak-watak insan tarbiah unggul, lantaran di Bangi merupakan Pusat Tarbiah dari berbagai-bagai universiti, pusat-pusat penyelidikan dan latihan. Keunggulan ini melayakkan dikenali Bangi Bandar Ilmu. Ungkapan ini diharap bukan semata-mata slogan, tetapi menjadi dinamika bagi universiti-universiti, pusat-pusat penyelidikan dan latihan menonjolkan keunggulan dan ketokohan insan bertahap internasional dan global. Adakah tahap yang diharapkan  begitu tinggi ?  Jika tidak kita akan terus berada di atas landasan stereotype dan kebiasaan.

Sekian.

Sumber dari Blog Dr Shafie Abu Bakar :
http://drshafie.blogspot.com/2013/01/tarbiah-dalam-program-rally-tarbawi-al.html