i PRK 2012 : Pilihlah Calon Yang Terbaik ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Wednesday 26 December 2012

PRK 2012 : Pilihlah Calon Yang Terbaik

Islam merupakan agama yang syumul. Di dalamnya, dilengkapkan konsep-konsep yang pelbagai merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Biarpun ianya adalah sekecil-kecil perkara seperti adab-adab di tandas hinggalah sebesar-besar perkara seperti pemerintahan Negara dan kepimpinan.

Seorang pemimpin dalam Islam mestilah mereka yang bertanggungjawab terhadap Allah, manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Pemimpin mestilah individu yang menjalankan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah dan melangsaikan amanah kepada orang yang berada di bawah pimpinannya. Rasululullah s.a.w merupakan contoh pimpinan terbaik yang memimpin dengan berlandaskan ilmu, iman, akhlak dan syariat.

Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Anfal, ayat ke 27 yang bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah- amanah yang diberikan kepada kamu dalam keadaan kamu mengetahuinya”.


Memilih calon Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk sesi akan datang dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) pada Khamis, 27 Disember 2012 ini merupakan tanggungjawab setiap dari kita, pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Hal ini kerana di masa akan datang mereka inilah individu-individu yang akan menyusun strategi kearah kecemerlangan siswa dan siswi KUIS dalam setiap aspek, dan kita pula ialah individu yang berada di bawah kepimpinan MPP ini. Justeru, kitalah tangan-tangan dan jiwa-jiwa yang paling berhak memilih calon pimpinan kita di masa depan.

Dalam usaha kita untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut, penilaian dan pemilihan yang tepat mestilah dibuat. Pilihlah calon yang bertaqwa, yang bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah, yang paling layak dari segi akhlak dan akademik, yang sentiasa berusaha melakukan kebaikan serta sentiasa menyebarkan keindahan agama Islam kepada seluruh masyarakat KUIS.

Memilih pemimpin bukanlah suatu yang mudah, pengamatan terhadap peribadi calon, kebertanggungjawaban dan bakat kepimpinan yang ada haruslah diperhalusi. Yang paling penting, kita disarankan untuk memilih calon yang paling ‘dekat’ dengan Allah supaya setiap dari gerak kerja memimpin mahasiswa yang dilakukannya pada masa akan datang dilancarkan dan dipermudahkan oleh Allah.

Setiap dari kebaikan atas landasan ikhlas dan ilmu pastilah dibantu oleh Allah, maka memilih kepimpinan dalam Islam bukanlah perkara remeh yang boleh ditinggalkan mengikut perasaan, bahkan ianya sesuatu yang menjadi kewajipan untuk dilaksanakan menurut syariat yang telah digariskan.

Al-‘Alamah Ibnu Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah berkata: Sesungguhnya melantik Pemimpin itu hukumnya adalah wajib, sudah diketahui wajibnya dari segi hukum dengan ijmak para sahabat dan tabiin, kerana para sahabat ketika wafatnya Raulullah S.A.W bersegera membaiahkan Abu Bakar, begitulah seterusnya sepanjang zaman selepas itu tanpa dibiarkan manusia itu huru hara tanpa pemimpin dan tepatlah perkara ini menjadi ijmak wajibnya melantik pemimpin.”

Justeru, kami di peringkat pimpinan Kelab Al-Azhar Members (ALAM), menyeru seluruh siswa dan siswi untuk turun mengundi. Buatlah pilihan yang terbaik dan marilah sama-sama mengembeling tenaga dan bersatu hati dalam memastikan kecemerlangan Kolej Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang kita cintai ini dimasa hadapan.

Amirul Hafiz bin Othman
Artikel Mantan Presiden ALAM 2012
26 Disember 2012 | 8.00 pagi

0 pandangan: