i Jamadil Awwal : Tarbiyah dan Janji Allah ! ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Sunday 15 April 2012

Jamadil Awwal : Tarbiyah dan Janji Allah !

Jamadil Awal merupakan bulan yang kelima daripada bulan-bulan Islam. Sebagaimana bulan-bulan yang lain Jamadil Awal juga mempunyai catatan sejarahnya tersendiri. Jamadil Awal memberi erti  permulaan musim sejuk. Dari segi bahasa, ia bermaksud kering atau beku. Bulan ini dinamakan sedemikian adalah kerana dalam bulan tersebut orang Arab pada zaman dahulu mengalami kekeringan air atau air menjadi beku. Pada ketika itu, parit, sumu, sungai dan lembah menjadi kering. 

Peristiwa Penting Bulan Jamadil Awwal : "Peperangan Mu'tah"

Pada bulan Jamadil Awal tahun ke-8 Hijrah telah berlaku peperangan Mu’tah di sebuah tempat yang bersempadan dengan Syam (karak). Peperangan ini berlaku disebabkan terjadinya pembunuhan terhadap utusan Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra di Syam iaitu Al-Harith Ibn Umair Al-A’zdi. Ini menimbulkan kemarahan orang-orang Islam dan mereka telah menyiapkan 3 ribu tentera muslimin untuk menyerang Syam. 

Bekas tapak peninggalan Perang Mu'tah 

Peperangan ini tidak disertai oleh Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itu peperangan ini dinamakan sebagai Ghazwah dan kerana banyaknya bilangan anggota tentera. Sebelum tentera Muslimin bertolak ke Syam, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Amir kamu ialah Zaid bin Harithah. Jika Zaid gugur, maka Jaa’far akan menggantikannya. Jika Jaa’far gugur, Abdullah bin Rawahah akan menggantikannya, jika Abdullah gugur maka hendaklah kamu pilih orang yang kamu suka untuk menjadi ketua kamu ”.
Rasulullah juga telah berpesan kepada tentera Muslimin, agar mereka menyeru terlebih dahulu orang Mu’tah kepada Islam. Sekiranya mereka enggan pohonlah pertolongan daripada Allah SWT dan perangilah mereka. Dalam pesanan Rasulullah ini, menunjukkan betapa Islam amat mementingkan adab dan akhlak sekalipun dalam peperangan. Berbeza dengan dunia para hari ini yang telah terpengaruh dengan sistem thagut sebagai contoh ketika Perang Dunia yang mana matinya jutaan manusia di Hiroshima dan Nagasaki. Ini jelas menunjukkan betapa zalimnya sistem kufur pada hari ini.

Ketika tentera muslimin mula bergerak dari Madinah menuju ke Syam, pihak musuh telah mendapat tahu akan ketibaan mereka. Lalu mereka mengumpulkan bala tentera yang ramai, Hiracla (ada yang mengatakan namanya Hercules) telah menghantar lebih daripada 100 ribu bala tentera yang terdiri daripada orang-orang Rom. Manakala Sharhabil telah mengumpul 100 ribu tentera yang terdiri daripada Qabilah Lukhan, Jazan, Al-Qari dan Bahra. Melihat kepada bilangan tentera musuh yang melebihi 200 ribu orang ini, tentera Muslim telah berhenti di Mu'an (satu daerah di Syam) selama dua malam sambil memikirkan apakah perancangan yang seharusnya dilakukan untuk menghadapi seluruh tentera musuh ini.

Ada di antara mereka berkata “Eloklah kita menulis surat kepada Rasulullah s.a.w memberitahu bilangan tentera musuh yang begitu ramai ini”. Tetapi Abdullah Ibn Rawahah berkeras dan memberikan semangat kepada tentera muslimin supaya terus berjuang dengan berkata “Wahai orang-orang Muslim! Demi Allah SWT apakah yang ditakutkan? Untuk apa kita keluar? Tidakkah dengan tujuan syahid? Kita berperang bukan kerana berdasarkan bilangan yang ramai dan bukan dengan kekuatan, tetapi kita berperang kerana menegakkan kalimah Allah, dengan kita mendapatkan kemuliaan daripada Allah SWT. Ayuh! Maju ke hadapan. Satu daripada dua kejayaan sudah pastikan tercapai, menang atau syahid di jalan Allah”.


Kemudian bertemulah tentera Muslimin dengan musuh-musuhnya yang berlipat kali ganda ramainya berhampiran Karak. Zaid Ibn Harithah mengambil bendera dan terus mara ke hadapan diikuti oleh semua jundi-jundi pejuang Islam. Akhirnya, beliau gugur syahid dengan tikaman musuh. Setelah gugurnya Zaid, maka Jaa’far Ibn Abu Talib mengambil bendera dan memimpin bala tentera Islam menggantikan Zaid. Jaa’far telah menewaskan beberapa musuh hinggalah beliau sendiri gugur syahid. Pada mayat beliau terdapat lima puluh tikaman pedang.

Bendera tetap ditegakkan dengan teguhnya oleh pejuang-pejuang Islam yang kental jiwanya berjuang kerana Allah SWT. Inilah antara sifat-sifat seorang Mukmin yang patut diterapkan dan dihidupkan dalam roh jiwa kita sebagai pejuang agama Allah untuk memastikan syiar Islam sentiasa dipuncaknya.

Setelah Jaa’far gugur, bendera diambil pula oleh Abdullah Ibn Rawahah. Akhirnya beliau juga gugur dan syahid. Benarlah apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w tentang ketiga-tiga pemimpin tentera yang gugur ini. Maka dengan persetujuan bala tentera Muslimin, Khalid bin Al-Walid dilantik menjadi Amir dalam peperangan tersebut. Khalid terus menggempur musuh sehingga mereka menjadi kucar-kacir menggunakan taktik dan strategi yang bijak. Dalam keadaan kucar-kacir inilah Khalid mengambil peluang seluruhnya menyelamatkan bala tentera Islam. Dalam peperangan ini, kemenangan telah ditentukan oleh Allah berpihak kepada tentera Islam.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w diberitahu mengenai kematian Zaid, Jaa’far dan Abdullah bin Rawahah, lalu Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


“Zaid mengenai (membawa) bendera dan bertempur lalu gugurlah dia, kemudian diambil oleh Ja'afar dan bertempur kemudian beliau juga gugur, kemudian diambil oleh Ibn Rawahah dan bertempur lalu dia juga turut gugur. Sambil berkata air matanya mengalir. Kemudian diambil oleh salah seorang “ pedang Allah” iaitu Khalid bin Al-Walid, maka Allah SWT memberi kemenangan kepada mereka.


Hadith ini memberi maksud, bahawa pada akhirnya Allah SWT telah memberi kemenangan kepada tentera Islam. Mereka telah kembali ke Madinah setelah bala tentera musuh lari untuk mendapatkan perlindungan kerana gerun melihat angkatan tentera Islam. Strategi yang licik dipimpin oleh Khalid Al-Walid dan dilaksanakan oleh tentera Islam telah memberi kemenangan kepada Islam. Adapun kesyahidan di medan perang itu adalah tarbiyah dan nikmat yang besar daripada Allah. Mereka yang berjuang kerana menegakkan kalimah Allah SWT sudah pasti mendapat tempat yang terbaik disisi Allah SWT sebagaimana yang dijanjikan olehNya.


Pesan buat diri dan sahabat sekalian :


Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan ”. (Surah Al-Ghasyiah : 21) 


Jangan sesekali kedekut untuk kita luangkan otak, hati dan seluruh anggota tubuh badan untuk bersyukur kepada Allah dengan segala nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita. Bukan bersyukur hanya zikrullah kepada Allah akan tetapi lebar luaskanlah kesyukuran kita untuk berjuang untuk mentaati dan beriman kepada Allah, amar ma’ruf nahi mungkar dan berlumba-lumba mengerjakan kebaikan sebagai tanda kesyukuran kita kepada yang Maha Esa. 


Akhir sekali, beberapa pengajaran yang ingin dikongsi dengan sahabat yang di kasihi:

1- Jangan menjadi gentar ketika melawan musuh Allah s.w.t (seperti mana yang selalu kita lafaz dalam doa qunut kita)

2- Yakinlah bahawa Allah s.w.t akan membantu hambaNya dalam perjuangan fi sabilillah.

3- Seiring dengan perkembangan zaman, berbagai pula cubaan dan ujian yang datang mestilah kita atasi kerana ianya ujian yang kecil dari Allah.

4- Jadikanlah cita-cita kita untuk menjadi seorang yang syahid di jalan Allah swt .

0 pandangan: