i Rindu Subuh ~ Kelab Al-Azhar Members KUIS

Monday 2 May 2011

Rindu Subuh

Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain diriku menyambut seorang tetamu tetapku. “Subuh”.

Subuh menyapaku dengan salam. “Wa’alaikummus salam,” sahutku.

Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang merupakan tugasnya setiap hari.

“tadi ...”, kata Subuh dengan sayu,” ... saya baru sahaja melintasi satu tempat yang didiami ramai manusia, ku cari tempat persinggahan, ku ketuk rumah-rumah sunyi, tapi satu pun tidak mahu menerimaku sebagai tetamu.”

Dan air mata Subuh pun berlinangan.


“Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah saya menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu.

“Oh ya, tadi saya lalu  di suatu  tempat yang tanahnya di sebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat dan mengiurkan. Hidangan yang paling ku suka adalah buah tahajjud, puas ku cari di bumi lain, tapi jarang ku jumpa. Di situ saya meratah buah tahajjud dengan puas dan leka”.

Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku faham maksud Subuh.

“Maaf Subuh, saya tiada menanam pohon qiam, jadi saya tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi saya ada roti sahur.” cadangkan pada Subuh.

Subuh menolak dengan hormat. “Roti itu ada tuan punyanya.” kata Subuh.

“Adakah kau mahu manisan zikir?”, rayuku pada Subuh.

“Baiklah, ambilkan saya sedikit, serta bawakan saya segelas air mata tangisan.” pinta Subuh.

Aku agak sugul. Bagaimana harusku memberitahu Subuh yang air mata tangisan sudah  hampir kekeringan akibat kemarau maksiat yang berpanjangan?

Namun, aku tetap menjenguk ke dalam perigi yang memuatkan mata air tersebut. Aku separuh terkejut, perigi tersebut hampir separuh penuhnya dan terdetik di dalam hatiku, adakah ini petanda kemarau akan berakhir?

Tanpa berlengah lagi ku bawa air tersebut pada Subuh, tetamu yang ku sanjungi, dan ku suapkan manisan yang dipintanya. Selesai menjamah  semuanya, Subuh pun melirikkan senyuman.

“Subuh...”, seruku.

“ ....mahukah kau tinggal selamanya denganku? Saya memerlukan teman dalam kesunyian. Akan ku layan dirimu dengan  sebaiknya, wahai Subuh.”

Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku takkan dipenuhi.

“Saya perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana saya menguliti mimpimu”.

Dan diriku akur dengan penjelasan Subuh. “Subuh …”, seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi. “Sudikah dikau menziarahi ku lagi esok hari?”

“Insyaallah”, jawab Subuh. “ ... bukankah saya kekasih yang kau rindui?”

Subuh berangkat lambat tetapi tetap. Dan mataku terus meniti langkah Subuh yang semakin laju dengan setiap langkah. Akhirnya Subuh hilang dari pandangan.

Pesanan Bersama : Rindu Yang Hakiki Adalah Rindu Kepada Allah & Allah Rindu Kepada Hambanya Yang Menghidupkan Waktu 2/3 Malamnya Yang Hampir Dengan Subuh...

0 pandangan: